UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1443 /2022 DARI YAD TAN SRI PRESIDEN PPKM

Di ambang menjelang Hari Raya Aidilfitri ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit pendapat berkenaan Ramadhan Al-Mubarak yang akan berakhir dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Marilah kita  bersama-sama melapangkan sedikit masa memberi renungan menilai fadzilat berpuasa pada siang hari dan makan di waktu malam. Amalan berpuasa bagi seorang mukmin adalah sebenarnya lebih daripada itu. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan melatih seorang insan mengamalkan tahap disiplin yang tinggi dan melarangkan melakukan beberapa perkara tertentu.

Islam sebenarnya adalah agama Ad-Deen yang melatih umatnya melakukan segala-galanya mengikut adab tertentu dengan tertib. Contohnya seorang yang hendak mendirikan solat perlu berada dalam keadaan bersih, berpakaian yang menutup aurat, mengadap kiblat dan solat mengikut waktu yang ditetapkan. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati mengadap ke arah yang lain dan mendirikan sembahyang di luar waktu yang ditetapkan. Pendek kata Islam mengajar seorang insan melakukan yang terbaik dalam hidupnya.

Kebaikan seseorang sebenarnya tidak cukup dengan hanya menjadi orang yang terbaik sahaja, akan tetapi mesti menaburkan kebaikan di dalam hidupnya.

Orang yang telah bersara, sebenarnya telah melepasi zaman berlumba-lumba untukmengejar kekayaan, pangkat dan kedudukan di dalam pejabat & masyarakat. Mereka hanya perlu  meningkatkan amal ibadah, bermesra dengan anak cucu & menunggu masa di panggil Illahi.

Marilah kita melapangkan sedikit masa untuk muhasabah diri, bertanya pada diri kita jika kita telah berjaya menjadi seorang yang lebih baik pada hari ini berbanding masa lalu.

Marilah kita berazam untuk meninggalkan contoh yang terbaik untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Sebagai seorang pesara yang telah melalui liku-liku hidup dan mengumpulkan banyak pengalaman, dan bolehlah dianggap sebagai seorang pemimpin, setidak-tidaknya bagi anak cucu dan rakan taulan yang berinteraksi dengannya.

Oleh yg demikian setiap pesara wajib mengilapkan kebolehannya untuk menjadi pemimpin yang berpengaruh supaya daya kepimpinannya dapat mengubah pandangan masyarakat kita pada masa yang akan datang.

Perkara ini menjadi lebih penting pada tahun ini memandangkan ramai anak muda yang berumur 18 tahun ke atas akan menjadi pengundi PRU, dan mereka perlulah didedahkan kepada selok-belok amalan politik di dalam negara kita  pada masa ini.

Kita bernasib baik kerana budaya Melayu masih menganggap nasihat orang tua sebagai perkara yang penting sebelum membuat sesuatu keputusan.

Oleh yang demikian nasihat yang kita beri mestilah berkualiti dan kena pada tempatnya.

Akhir kalam saya suka mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya.Seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam ,(pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya .( Riwayat Albukhary)

WASSALAM  ,

SELAMAT HARI  RAYA

MAAF ZAHIR & BATIN

TAN SRI DATO’ PADUKA RAJA DATO’ HJ WAN MAHMOOD BIN PAWAN TEH

Presiden

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia

ULASAN YAD TAN SRI MENGENAI ISU KEMALANGAN LRT

1. Berita kemalangan LRT pada 24 Mei 2021 telah mencetuskan perbincangan hangat di dalam segenap lapisan masyarakat.

2. Perkara ini tidak ketinggalan juga menjadi perbincangan di antara tokoh-tokoh dalam Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.

Akan tetapi, akan perkara ini kita cenderung kepada pandangan yang berlainan sedikit.

3. Yang berhormat Dato’ Sri  Hj Tajuddin bin Abdul Rahman bukanlah calang-calang manusia, memandangkan beliau telah menjadi Ahli Parlimen sejak March 2002 (selama 13 tahun) dan juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana seorang yang begitu banyak pengalaman, matang, dan bijak, boleh membuat kesilapan pada persidangan media bertarikh  25 Mei 2021 hingga mencetuskan kemarahan rakyat yang begitu luas.

4 . Mungkin ini satu cara Allah  menunjukkan kesilapan Kerajaan yang memerintah melantik Pengerusi  Badan-badan Berkanun & GLC dari ahli-ahli politik sebagai membalas budi sokongan mereka kepada Kerajaan berkenaan.

Perbuatan seperti ini bukan saja boleh membawa kerugian kepada badan-badan berkenaan, tetapi boleh dianggap sebagai rasuah politik.

Sekiranya seorang ahli politik ada kelayakan dan pengalaman  memang patut dan boleh dilantik memimpin badan berkenaan. Akan tetapi kriteria pelantikan mestilah berasas kepada kelayakan dan pengalaman.

5. Negara kita masih ada banyak rakyat yang cukup kelulusan dan pengalaman untuk memimpin badan-badan berkenaan. Golongan ini terdiri dari mereka-mereka yang pernah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Kerajaan yang ada banyak pengalaman dalam dunia perniagaan dan perusahaan.

6. Semua golongan rakyat Malaysia, samaada ahli politik, profesional, petugas awam atau rakyat biasa wajib memainkan peranan masing-masing dengan ikhlas dan jujur untuk mengembalikan Malaysia ke tahap Negara Membangun yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa seperti pada satu masa dahulu.

BERKHIDMAT UNTUK AGAMA, BANGSA, RAJA & NEGARA

Yang Ikhlas

Tan Sri Dato Paduka Raja Dato’ Hj Wan Mahmood bin Pawanteh

Presiden,

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.

27.5.21

UCAPAN HARI WESAK DARIPADA YAD TAN SRI PRESIDEN PPKM

Kepada semua  Ahli PPKM yang menyambut Hari Wesak, saya menyeru supaya mengukuhkan ajaran Gautama Buddha dan mengubah dari amalan TAHAYUL DAN KEBENCIAN. Jadilah seorang yang PENYAYANG khususnya sesama rakyat Malaysia. Marilah bersama-sama kita menentangi segala bentuk penindasan dan kezaliman diseluruh dunia.

BOIKOT BARANGAN ISRAEL

BOIKOT BARANGAN ISRAEL

1.    Seluruh Dunia Islam diselubungi perasaan sedih bercampur geram atas kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai (massacre) rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.

2.       Perdana Menteri Malaysia dan Ketua-Ketua Negara Islam telah mengutuk dengan sekeras-kerasnya kezaliman Kerajaan Zionis terhadap rakyat Palestine dan mendesak PBB mengambil tindakan segera menghentikanya.

3.       Sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, supaya menyelamatkan rakyat Palestine sambil menghulurkan dana bagi membantu mereka. Sudahkah kita tanya diri kita apa kekuatan rakyat Islam bagi menyedarkan rejim Zionis Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat supaya tunduk kepada Masyarakat Islam Sedunia.

4.       Pada pendapat saya Umat Islam merupakan golongan pengguna (Consumers) yang terbesar di dalam dunia. Oleh itu marilah kita gunakan kelebihan ini untuk  menundukkan regim Zionis dan sekutunya Amerika Syarikat, supaya lebih menghormati masyarakat Islam.

5.       Marilah kita melancarkan kempen seluas-luasnya supaya kita memboikot semua barangan pengeluaran dan perusahaan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat. Sebagai contoh mengapa menggunakan Petroleum atau gas Caltex, Shell atau BP jika kita ada Petronas.

Mengapa kita berlanggan dengan Kentucky Fried Chicken dan lebih-lebih lagi McDonald  dan memberi bayaran francais yang mengalir kepada negara Zionis dan Amerika Syarikat?

Mengapa kita galakkan budaya minum kopi jenama yang membayar francais kepada negara Zionis dan Amerika Syarikat?

Mungkin alasannya kebanyakkan “coffee house” ini kepunyaan orang Melayu tempatan. Tetapi soalnya, berapa banyak francais yang dibayar setiap hari atau setiap tahun  kepada mereka dari Negara Zionis dan Amerika Syarikat?

6.       Bawalah perubahan untuk mengutamakan barangan dan perusahaan Negara sendiri atau keluaran Negara Islam. “Buy Muslim First.”

Sekiranya kita tidak boleh perolehi keperluan kita itu dari Negara Islam, kita boleh mendapatinya dari negara lain saperti Soviet Union, China, Korea, Jepun dan lain2 Negara.

Apabila semangat ini meresap ke dalam sanubari setiap Umat Islam, maka wujudlah banyak lagi perusahaan untuk mengeluarkan produk dan perusahaan yang diperlukan oleh rakyat tempatan, sebagaimana dalam ungkapan Inggeris, “Necessity is the mother of invention”.

Dengan tersebarnya dan meresap budaya ini kita akan dapat menggantikan produk dan pengurusan yang selama ini kita bergantung kepada negara Zionis dan Amerika Syarikat.

7.       Marilah kita semua menyambut seruan ini. Kenal pasti perusahaan dan perkhidmatan yang ada hubungan terus dengan Negara Zionis dan Amerika Syarikat, dan mewarwarkan kepada saudara-mara dan rakan taulan kita supaya jangan menyokong perkhidmatan dan perusahaan Zionis tersebut.

8.       Bersama ini diperturunkan beberapa foto yang mengambarkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat Palestin supaya membakar semangat kita untuk membela nasib saudara Islam. Kita bersama perlu membela nasib mereka.

9.       Semua ini bukanlah satu retorik politik, tetapi sebagai memanjangkan sabda junjungan kita  Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Baihaqi,

” Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan Kaum Muslimin maka dia bukanlah termasuk dalam golongan mereka”

10.     Marilah kita membuktikan yang kita benar benar berjiwa lslam,dan memainkan peranan kita sebagai seorang Islam sejati.

YAD Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood bin Pawan Teh

Presiden

PPKM

16 May 2021 / 4 Syawal 1442