Persatuan Pesara Kerajaan
Malaysia (PPKM) menyokong Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah
Darurat di seluruh Negara. Memandangkan
penularan virus COVID-19 yang sangat membimbangkan, saya sebagai Presiden
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia yang mewakili lebih dari 70 ribu ahli yang
berada diseluruh pelusok tanah air kita, oleh kerana majoriti ahli-ahlinya
berusia lebih dari 60 tahun yang mewakili segenap keturunan etnik rakyat
Malaysia, Persatuan ini bolehlah dianggap sebagai mewakili warga emas di dalam
negara ini.
Statistik mangsa Covid-19 seluruh dunia membuktikan ramai terdiri dari orang
yang berusia 60 tahun ke atas. Oleh yang demikian golongan umur inilah yang
banyak menjadi mangsa penyakit ini. Statistik kematian di Itali
menunjukkan bilangan besar adalah terdiri dari mereka yang berusia 60 tahun ke
atas. Perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling sepatutnya menjadi isyarat
yang kuat kapada Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik
membendung gejala ini. Itupun belum mengambil kira apa yang akan meletus
selepas perhimpunan ribuan manusia yg hadir di
upacara Masai Magam Thepa Thirunaal di Pulau Pinang pada 8.3.20.
Tempias dari cetusan penularan virus di
Perhimpunan Sri Petaling ini dirasai bukan sahaja dalam Negara ini tetapi juga
sampai ke Negara-negara jiran seperti Singapura dan Brunei. Nampaknya
Negara-negara berkenaan dapat menangani masalah ini dengan baik. Di
Malaysia pula perkara ini berkembang menjadi masalah yang besar. Hingga
hari ini mereka yang hadir di perjumpaan di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 –
29 Februari masih bebas berkeliaran bergaul dengan orang awam, sekaligus dengan
tidak sengaja menjangkiti mereka.
Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan dua
minggu kemudian. Itu pun tidak dijalankan dengan cara yang kemas
menyebabkan rakyat menganggap ini sebagai peluang untuk pulang ke kampung.
Dengan secara tidak sengaja mereka telah mendedahkan orang tua-tua di kampong
dengan jangkitan virus tersebut.
Di dalam keadaan yang kita berada pada masa ini, kita tidak ada lain pilihan
selain dari mengisytiharkan darurat. Di dalam keadaan kecemasan saperti
ini adalah tidak wajar kita menunding jari kepada sesiapa atau mana-mana
pihak sekalipun. Kita tidak boleh bermain politik tuduh menuduh, sama ada
kita berpihak kepada Kerajaan atau pembangkang.
Inilah masanya kita perlu berganding bahu bersama-sama menyelamatkan Negara
kita dan rakyat kita dari menjadi mangsa kepada COVID-19 Marilah kita bersama
sama ada dari golongan pemimpin politik, penjawat atau petugas awam,
Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) atau rakyat biasa memain peranan masing-masing
dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar ini.
Kita
tidak payah meraba-raba mencari formula atau cara yang terbaik kerana kita
sudah ada contoh yang telah berjaya dari Negeri China menggunakan
disiplin tegas yang terpaksa dipatuhi oleh segenap lapisan masyarakat
seperti “social distancing” dan budaya
kebersihan am.
Marilah kita bersama berdoa kepada
Allah SWT supaya menyelamatkan kita dari musibah ini. Insya-Allah
dengan kita bersatu hati bertawakkal kepada Allah kita dapat mengharungi
dugaan pahit yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Amin ya rabbal
alamin. Wassalam
Yang Memegang Amanah
Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood bin Pawanteh
Presiden
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM)