Ucapan Presiden

UCAPAN TAHUN BARU 2020 TAN SRI PRESIDEN PERSATUAN PESARA KERAJAAN MALAYSIA

Selesai sahaja subuh dan terbitnya matahari pada 1 Januari 2020, rakyat Malaysia khususnya Pesara Kerajaan Malaysia akan mula melangkah masuk tahun baru yang dinanti-nantikan.

Tahun 2020 ini adalah istimewa bagi rakyat Malaysia, kerana Kerajaan Malaysia telah lama menetapkannya sabagai tahun yang Malaysia akan mencapai taraf Negara maju.

Wawasan 2020 mula diumumkan pada 28.2.1991 oleh Perdana Menteri ke 4 Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sekarang ini Perdana Menteri ke-7.

Apabila tibanya 1 Januari 2020 dan secara kebetulan pula, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menjadi Perdana Menteri yang ke-7, maka rakyat tentulah akan bertanya-tanya berkenaan Wawasan 2020.

Persoalannya?,

Adakah YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri berpendapat bahawa cita-cita beliau untuk mencapai wawasan 2020 tercapai.

Saya berasa beliau sendiri bersetuju bahawa cita-cita murni itu tidak kesampaian. Sebagai golongan yang matang dan berpengalaman, marilah kita Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia merenung serius dan meneliti satu persatu cabaran yang telah disenaraikan bagi Wawasan 2020 seperti berikut:-

Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.

Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.

Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.

Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.

Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.

Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.

Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.

Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Marilah kita dengan hati yang terbuka dan dengan tidak ada apa-apa agenda politik menilai setakat mana cabaran yang disenaraikan telah tercapai.

PRINSIP PPKM

Sebelum kita berbincang dengan panjang lebar atau membuat kritikan yang membina, saya suka tegaskan sekali lagi bahawa PPKM adalah badan yang berkecuali dari politik kepartian dan memegang teguh kepada prinsip yang termaktub di dalam Al-Quran iaitu Surah An Nisa, ayat 59, (“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan kepada Ulil-Amri, iaitu pemimpin yang telah dipilih”)

Ahli PPKM semestinya merujuk kepada surah ini setiap kali berdepan dengan keperluan memberi pencerahan dalam isu yang berkenaan.

PPKM tetap menyokong kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan yang menerajui Kerajaan selepas PRU 14, sebagai Kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat.
Oleh yang demikian, pandangan ikhlas dan teguran yang dibuat terhadap tiap-tiap satu daripada 9 Cabaran ini, adalah pandangan dan teguran membina yang bertujuan menggambarkan keadaan sebenarnya pada masa ini.

Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Malaysia masih belum lagi dapat membina masyarakat yang bersatu padu, dan selagi dasar pendidikan tidak mengikut sepertimana yang diamalkan oleh Negara jirannya, iaitu Indonesia dan Thailand, dan masih tidak sanggup atau tidak ada “Political Will” melaksanakan dasar pelajaran mengikut “Razak Education Report”, maka selama itulah Malaysia tidak akan dapat membina satu Negara Malaysia yang bersatu -padu.

Hakikatnya, dengan tidak mengambil kira suasana selepas 13 Mei 1969, tahap perpaduan masa kini sangat merunsingkan.

Dasar Perpaduan perlu diuruskan oleh satu Suruhanjaya yang Pengerusi dan ahli-ahlinya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, dari tokoh yang bebas dari ideologi perkauman atau politik kepartian.
Dasar atau “kertas putih” yang dihasilkan oleh Suruhanjaya ini hendaklah menjadi panduan kepada semua Kementerian.

Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.

Saya berpendapat kita telah berjaya membina masyarakat yang berjiwa bebas tetapi masih lemah, walaupun berada dalam Negara yang aman dan tenteram. Pada amnya rakyat masih diselubungi jiwa yang syak wasangka serta kurang berkeyakinan.

Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.

Malaysia telah berjaya membina masyarakat yang demokratik dan matang, akan tetapi demokrasi hendaklah mengikut acuan kita yang berdasarkan Rukun Negara dan bukan demokrasi yang tidak berbatas.

Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.

Sungguhpun boleh dikatakan masyarakat Malaysia bermoral dan beretika tinggi tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki untuk mencapai tahap yang disasarkan sebagai sebuah Negara maju.

Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.

Malaysia telah berjaya mewujudkan masyarakat yang matang, liberal tetapi masih jauh kurang bertoleransi. Contohnya keputusan menggunakan tulisan jawi pun menimbulkan emosi dan tidak ada bertoleransi.

Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.

Masyarakat Malaysia boleh dikatakan telah hampir mencapai tahap Negara maju dan saintifik

Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.

Malaysia telah berjaya mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang, tetapi perlu penambahbaikan dari semasa ke semasa di dalam acuan budaya timur dan tidak terlalu terpengaruh dengan budaya barat yang memberi kebebasan yang keterlaluan kepada hak asasi manusia.

Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.

Masyarakat Malaysia belum boleh diiktiraf sebagai adil dan saksama dari segi ekonomi, kerana jurang perbezaan ekonomi mengikut kaum masih lebar.

Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.

Malaysia mungkin telah dapat mencapai tahap masyarakat makmur, tetapi atas sebab salah tadbir kerajaan sebelum PRU 14, ekonominya merudum sehingga keadaan sudah tidak boleh dikatakan makmur lagi sehingga beberapa tahun yang akan datang.

Berdasarkan kepada pandangan dan renungan Sembilan Cabaran di atas, kita terpaksa menerima hakikat bahawa Negara kita telah tersasar jauh dari Wawasan 2020. Oleh yang demikian, setiap ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia perlulah memainkan peranan yang lebih terserlah dan lebih berpengaruh di dalam keluarga dan komuniti masing-masing, melalui aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan, yang boleh dilakukan secara berterusan bagi membantu Kerajaan mencapai matlamat yang boleh merealisasikan Wawasan 2020.

Asalkan kita berpegang kepada konsep berkecuali daripada politik kepartian, ikhlas di dalam setiap aktiviti, dan bersikap mesra, rendah diri, dengan penuh keyakinan terus berusaha, hingga matlamat kita tercapai. Kita mahu melihat matlamat berikut menjadi realiti dalam jangkasama secepat mungkin.

Kita tetap akan mencapai matlamat yang disasarkan jika setiap dari ahli PPKM berpegang kepada falsafah kita seperti berikut:-

Yang jauh dirapatkan
Yang retak ditampalkan
Yang putus disambungkan
Yang salah faham difahamkan.

Majulah tanpa menyingkirkan,
Naiklah tanpa menjatuhkan,
Jadilah baik tanpa harus memperlekehkan,
Jadilah benar tanpa harus menyalahkan.

Insha Allah kita akan dapat membantu kerajaan mencapai matlamat Wawasan 2020
Selamat Tahun Baru 2020

Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj Wan Mahmood bin Pawan Teh

Presiden
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia

1 Januari, 2020

UCAPAN UNTUK PELANCARAN LAMAN SESAWANG PPKM

UCAPAN UNTUK PELANCARAN LAMAN SESAWANG PPKM

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sejak 2009, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia telah memulakan transformasi dan menjalankan berbagai aktiviti yang berpasak kepada serampang tiga mata:-

Menjaga kesihatan

Menjanakan perpaduan

Melengkapkan kemudahan bagi keselesaan pesara dengan cogankata pesara selesa negara sentosa.

Sejak tarikh tersebut banyak aktiviti telah dijalankan tetapi mungkin tidak diketahui di kalangan pesara sendiri tambahan pula kepada orang awam.

Oleh yang demikian, sangatlah perlu diadakan website atau laman sesawang sendiri supaya bukan sahaja dapat dilayari oleh para pesara tetapi juga orang awam.

Laman sesawang ini sepatutnya dilancarkan oleh Timbalan Menteri Multimedia, akan tetapi di saat-saat akhir, beliau telah memaklumkan bahawa beliau telah terlibat dalam upacara berkaitan pertabalan KDYMM

Oleh yang demikian, saya telah diminta untuk melancarkannya.

Sebagai seorang yang telah berkecimpung di dalam dunia penyiaran dan penerangan selama 14 tahun, saya berpegang kuat kepada kepercayaan yang dalam bahasa Inggeris di sebutkan It is not enough, for us participate in activities that benefit mankind but such activities must be seenn to be done.

Terjemahannya lebih kurang seperti “tidak cukupnya aktiviti terhadap manusia, tetapi ia mesti dilihat dan diketahui oleh manusia dilakukan, tetapi ia mesti dilihat oleh manusia sendiri.

Oleh itu, saya dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim melancarkan website atau laman sesawang Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.

UCAPAN TAHUN BARU 2019 DARI PRESIDEN PPKM

Genap detik jam 12 tengah malam tadi tahun 2018 telah tamat dan kita melangkah masuk ke tahun 2019.

Sungguhpun ini bukan tahun Hijrah, ia adalah satu takuk perubahan masa yang kita perlu iktiraf.

Marilah kita bersama-sama merenung sejenak mengimbaskan kembali pencapaian kita sebagai seorang individu, keluarga kita dan Negara yang tercinta. Sekiranya hasil renungan ini menunjukkan adanya kelemahan atau kekurangan di mana-mana Bahagian, maka eloklah kita berazam menambahbaiknya pada tahun 2019.

Bagi Malaysia tahun 2018 merupakan tahun yang membawa banyak perubahan. Kerajaan yang telah memerintah sejak 61 tahun yang lalu telah ditukar dengan kerajaan yang diwakili oleh parti politik yang mempunyai ideologi yang berbeza.

Sungguhpun besar kemungkinan parti-parti komponan ini memikirkan bahawa PRU14 ini telah membawa kepercayaan pengundi kepada partinya, ini mungkin bukan realitinya.

Oleh yg demikian sungguhpun wakil-wakil parti yang memegang tampuk Kerajaan ini boleh diibaratkan pepatah Melayu sebagai “tidur sebantal, mimpi berlainan”, namun yang baiknya, mereka sepakat memilih seorang tokoh yg cekap dan berwibawa sabagai PM.

Walaupun pakatan yang begitu baik dan kepercayaan diantara satu dengan lain wujud dikalangan wakil-wakil rakyat di peringkat kepimpinan namun keadaannya jauh sekali berbeza di peringkat akar umbi kerana kempen pilihanraya 14 dan ucapan-ucapan pemimpin yang dibuat di dalam masa tenggelam kesukaan kemenangan tidak begitu diteliti dan ada kalanya membangkitkan sentimen perkauman.

Pendek kata, perpaduan kaum adalah di dalam keadaan yang sangat membimbangkan, jauh berbeza dari masa kita mencapai kemerdekaan, jika dibandingkan dengan keadaan pada masa ini.

Memandangkan NGO yang benar-benar bebas dari politik kepartian sangat kurang, adalah menjadi tanggungjawab yang berat bagi PPKM menggunakan segala tenaga dan pengalamannya merapatkan yang renggang, menampalkan yang retak dan menebalkan perpaduan.

Marilah kita sebagai orang yang berpengalaman, ada kepakaran dan banyak masa lapang berazam untuk mengemblengkan tenaga ahli-ahli kita bagi tahun 2019 ini.

Kita juga boleh menyumbangkan pendapat yang mungkin berbeza dengan aliran pemikiran kerajaan pada masa kini.

Beberapa contoh pandangan yang kita utarakan pada masa lalu yang di anggap jangkal pada masa itu ternyata sangat relevan pada masa ini. Contohnya selepas Mesyuarat Agung Perwakilan PPKM di Perlis pada 28.6.2003 PPKM telah menyarankan supaya Kerajaan mengawal sosial media yang terlalu bebas ternyata pada hari ini bagaimana ianya merosakkan perpaduan dan rakyat kita.

Selepas Mesyuarat Perwakilan di Selangor pada 8.8.2014 PPKM telah menghantar surat kepada Kerajaan pada masa itu supaya jangan memansuhkan Akta Hasutan dan ini telah menjadi kenyataan kerana ramai lagi NGO yang menyokong akta ini.

Pada Mesyuarat Perwakilan PPKM di Pulau Pinang pada 25.7.2016 PPKM telah menyarankan supaya sejarah Malaysia yang sebenarnya perlu dizahirkan secara meluas kerana ternyata kerana buta sejarah lah banyak golongan yang membuat tuntutan yang bertentangan dengan perjanjian di masa sebelum mencapai kemerdekaan dengan perjanjian setelah merdeka.

Banyak lagi contoh sumbangan yang telah disarankan oleh PPKM dari masa ke semasa tetapi memandangkan masa yang terhad memadai supaya pesara diingatkan atas tanggungjawab mereka mendidik dan memimpin rakyat malaysia ke arah negara yang aman dan sejahtera.

“Selamat Tahun Baru 2019”