Tentang Kami

Sejarah Ringkas Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia ditubuhkan pada 24 September 1972. Mesyuarat pelancarannya diadakan di Dewan Bandaraya yang dihadiri oleh 400 orang pesara Kerajaan yang diterajui oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Jamil Rais sebagai Presiden yang pertama (1972 hingga 1994), YBhg Tun Abdullah bin Ayub Presiden yang kedua (1994 – 2008) dan YAD Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Haji Wan Mahmood bin Pawan Teh Presiden yang ketiga (2008 hingga kini)
.
Nama persatuan telah bertukar sebanyak tiga kali iaitu dari Persatuan Kakitangan-Kakitangan Pesara Kerajaan Malaysia (PKKPKM) ke Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia (PPPKM) dan akhir sekali ditukar menjadi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM).

Persatuan ini bersama-sama dengan perlembagaannya telah didaftarkan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada 16 Disember 1972. Perlembagaan ini telah dipinda dari masa ke semasa untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Alamat pejabat yang pertama ialah di No. 55, Jalan Weld (sekarang Jalan Raja Chulan, iaitu di sebuah rumah kakitangan Kerajaan lama) Kerajaan telah memberikan sebuah rumah lama sebagai ganti di No. 2139-4, Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak) dan terlindung oleh jejambat. Tempat ini agak kurang sesuai. Walaupun demikian ia terus digunakan hingga Persatuan berpindah ke Jalan Kampong Attap, pada tahun 1987. Di sini Persatuan telah diberi ruang pejabat kepunyaan Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pencen. Pejabat ini mempunyai kemudahan-kemudahan pejabat sesuai dengan keperluan semasa.

Pada tahun 90an PPKM telah membeli sebuah bangunan 3 tingkat di Pekeliling Business Centre No. 36, Persiaran 65C, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur dengan harga RM1.8M. Di tingkat 3, PPKM menggunakan sebagai Ibu Pejabat dan di tingkat lain telah disewakan.

Tujuan

Secara amnya, Persatuan bertujuan  untuk mengumpul dan menyatukan pesara-pesara Kerajaan dari semua perkhidmatan dalam satu organisasi untuk menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahli serta membangkitkan persoalan-persoalan mengenainya kepada Kerajaan disamping merancang dan melaksanakan usaha bagi mewujud/memupuk perpaduan dan persefahaman dikalangan pesara-pesara. 

Dari segi aktiviti, Persatuan menggalakan penyertaan yang aktif secara perseorangan atau bersama-sama didalam mana-mana kegiatan, program dan usaha kebajikan dan menyumbang kearah usaha membangunkan masyarakat dan Negara. Persatuan juga bertujuan menjalankan aktiviti perniagaan yang boleh menjana keuntungan sebagai sumber pendapatan tambahan bagi Persatuan disamping menganjurkan dan menggalakkan ahli-ahli berusaha menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan yang boleh  menambah  pendapatan sampingan untuk meningkatkan  ekonomi pesara.