Di ambang menjelang Hari Raya Aidilfitri ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit pendapat berkenaan Ramadhan Al-Mubarak yang akan berakhir dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Marilah kita  bersama-sama melapangkan sedikit masa memberi renungan menilai fadzilat berpuasa pada siang hari dan makan di waktu malam. Amalan berpuasa bagi seorang mukmin adalah sebenarnya lebih daripada itu. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan melatih seorang insan mengamalkan tahap disiplin yang tinggi dan melarangkan melakukan beberapa perkara tertentu.

Islam sebenarnya adalah agama Ad-Deen yang melatih umatnya melakukan segala-galanya mengikut adab tertentu dengan tertib. Contohnya seorang yang hendak mendirikan solat perlu berada dalam keadaan bersih, berpakaian yang menutup aurat, mengadap kiblat dan solat mengikut waktu yang ditetapkan. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati mengadap ke arah yang lain dan mendirikan sembahyang di luar waktu yang ditetapkan. Pendek kata Islam mengajar seorang insan melakukan yang terbaik dalam hidupnya.

Kebaikan seseorang sebenarnya tidak cukup dengan hanya menjadi orang yang terbaik sahaja, akan tetapi mesti menaburkan kebaikan di dalam hidupnya.

Orang yang telah bersara, sebenarnya telah melepasi zaman berlumba-lumba untukmengejar kekayaan, pangkat dan kedudukan di dalam pejabat & masyarakat. Mereka hanya perlu  meningkatkan amal ibadah, bermesra dengan anak cucu & menunggu masa di panggil Illahi.

Marilah kita melapangkan sedikit masa untuk muhasabah diri, bertanya pada diri kita jika kita telah berjaya menjadi seorang yang lebih baik pada hari ini berbanding masa lalu.

Marilah kita berazam untuk meninggalkan contoh yang terbaik untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Sebagai seorang pesara yang telah melalui liku-liku hidup dan mengumpulkan banyak pengalaman, dan bolehlah dianggap sebagai seorang pemimpin, setidak-tidaknya bagi anak cucu dan rakan taulan yang berinteraksi dengannya.

Oleh yg demikian setiap pesara wajib mengilapkan kebolehannya untuk menjadi pemimpin yang berpengaruh supaya daya kepimpinannya dapat mengubah pandangan masyarakat kita pada masa yang akan datang.

Perkara ini menjadi lebih penting pada tahun ini memandangkan ramai anak muda yang berumur 18 tahun ke atas akan menjadi pengundi PRU, dan mereka perlulah didedahkan kepada selok-belok amalan politik di dalam negara kita  pada masa ini.

Kita bernasib baik kerana budaya Melayu masih menganggap nasihat orang tua sebagai perkara yang penting sebelum membuat sesuatu keputusan.

Oleh yang demikian nasihat yang kita beri mestilah berkualiti dan kena pada tempatnya.

Akhir kalam saya suka mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya.Seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam ,(pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya .( Riwayat Albukhary)

WASSALAM  ,

SELAMAT HARI  RAYA

MAAF ZAHIR & BATIN

TAN SRI DATO’ PADUKA RAJA DATO’ HJ WAN MAHMOOD BIN PAWAN TEH

Presiden

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia