1. Berita kemalangan LRT pada 24 Mei 2021 telah mencetuskan perbincangan hangat di dalam segenap lapisan masyarakat.

2. Perkara ini tidak ketinggalan juga menjadi perbincangan di antara tokoh-tokoh dalam Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.

Akan tetapi, akan perkara ini kita cenderung kepada pandangan yang berlainan sedikit.

3. Yang berhormat Dato’ Sri  Hj Tajuddin bin Abdul Rahman bukanlah calang-calang manusia, memandangkan beliau telah menjadi Ahli Parlimen sejak March 2002 (selama 13 tahun) dan juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana seorang yang begitu banyak pengalaman, matang, dan bijak, boleh membuat kesilapan pada persidangan media bertarikh  25 Mei 2021 hingga mencetuskan kemarahan rakyat yang begitu luas.

4 . Mungkin ini satu cara Allah  menunjukkan kesilapan Kerajaan yang memerintah melantik Pengerusi  Badan-badan Berkanun & GLC dari ahli-ahli politik sebagai membalas budi sokongan mereka kepada Kerajaan berkenaan.

Perbuatan seperti ini bukan saja boleh membawa kerugian kepada badan-badan berkenaan, tetapi boleh dianggap sebagai rasuah politik.

Sekiranya seorang ahli politik ada kelayakan dan pengalaman  memang patut dan boleh dilantik memimpin badan berkenaan. Akan tetapi kriteria pelantikan mestilah berasas kepada kelayakan dan pengalaman.

5. Negara kita masih ada banyak rakyat yang cukup kelulusan dan pengalaman untuk memimpin badan-badan berkenaan. Golongan ini terdiri dari mereka-mereka yang pernah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Kerajaan yang ada banyak pengalaman dalam dunia perniagaan dan perusahaan.

6. Semua golongan rakyat Malaysia, samaada ahli politik, profesional, petugas awam atau rakyat biasa wajib memainkan peranan masing-masing dengan ikhlas dan jujur untuk mengembalikan Malaysia ke tahap Negara Membangun yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa seperti pada satu masa dahulu.

BERKHIDMAT UNTUK AGAMA, BANGSA, RAJA & NEGARA

Yang Ikhlas

Tan Sri Dato Paduka Raja Dato’ Hj Wan Mahmood bin Pawanteh

Presiden,

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.

27.5.21