PENULISAN Tuan Shamsul Amri Baharuddin, Pengerusi Majlis Profesor Negara, yang dimuatkan di muka 15 Sinar Harian bertarikh 13 Januari 2021, sudah tentu menarik perhatian ramai rakyat Malaysia.

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, yang ramai juga ahlinya menyaksikan penubuhan UMNO, yang kita kagumi, sebagai parti politik ulung yang menebuskan Kedaulatan Bangsa Melayu, selepas percubaan Kerajaan British menghapuskannya menerusi pengisytiharan Malayan Union pada thunder 1946 ingin menyumbang sedikit pandangan.

Kami dengan rendah hati suka berkongsi pendapat, dengan penuh harapan bahawa ianya dapat menyumbang kepada pemulihan dan keteguhan UMNO.

Bagi membolehkan kita mencapai cita-cita ini, marilah kita bersama cuba menyelami hasrat visi dan misi parti yang mewakili orang Melayu dari sejak ditubuhkan pada bulan Mac 1946, dengan penuh harapan yang sumbangan dan pandangan yang ikhlas ini dapat sedikit sebanyak membantu pemimpin dan perwakilan persidangan UMNO membuat keputusan yang bijak selaras dengan titah nasihat Raja-Raja Melayu dan sekaligus memenuhi hasrat rakyat Malaysia.

Pada masa UMNO ditubuhkan, ramai juga pimpinan dan keanggotaannya terdiri daripada pegawai kerajaan atau bekas pegawai kerajaan, sungguh pun pegawai kerajaan dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik, mengikut Perintah Am Penjawat Awam atau General Orders.

Ini terbukti dengan adanya catatan dalam Arkib Negara, arahan daripada Ketua Setiausaha Kerajaan pada masa itu, A Newbolt yang memberi jaminan bahawa tindakan tatatertib tidak akan diambil terhadap penjawat awam yang melibatkan diri di dalam politik (Malayan Union Confidential Paper 74/1946).

Kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa UMNO berjaya menjadi tonggak kepercayaan orang Melayu kerana galakan dari Raja-Raja Melayu dan rata rata kepemimpinnya yang terdiri daripada orang banyak pengalaman, integriti tinggi dan senantiasa berpandu kepada budaya dan disiplin penjawat awam.

Jika UMNO ingin kembali kepada tahap kegemilangan ketika di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman,Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi para perwakilan, Persidangan Perwakilan UMNO yang akan datang perlulah muhasabah diri dan pegang pada prinsip-prinsip yang berikut:-

a) Beri sokongan dan pilih pemimpin-pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi. Sebenarnya UMNO masih ada banyak tokoh-tokoh yang memenuhi syarat-syarat ini.

b) Mereka yang benar-benar ingin menjadikan politik sebagai kerjaya hidupnya hendaklah renungkan dgn serius ungkapan Presiden Amerika Syarikat yang ke-33 yang dihormati oleh rakyatnya dan masyarakat antarabangsa, Harry S Truman, seperti berikut:- “You can’t get rich in politics, unless you are a crook” (Kamu tidak boleh menjadi kaya di dalam politik kecuali kamu orang yg jahat).

c/ Pemimpin yang masih di dalam ‘kluster mahkamah’, dinasihat supaya bersabar dan bercuti hingga keputusan mahkamah membersihkan nama baik mereka, demi menjaga kewibawaan UMNO.

Jika kita inginkan Malaysia dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa maka UMNO, sebagai parti politik yang berpengaruh, hendaklah pegang kuat kepada prinsip-prinsip berikut:

a) Memperkasakan konsep Raja dalam Perlembagaan,dan Kedaulatan Raja Raja Melayu.

b) Kebebasan sistem kehakiman negara dari sebarang pencemaran politik

c) Perkasakan semangat saling hormat menghormati di antara kuasa Legislatif dan kuasa Eksekutif

Saya harap pandangan yang dikongsikan ini janganlah dianggap sebagai percubaan “Mengajar itik berenang” tetapi sebagai usaha mengelak dari “Tenggelam di dalam kolam yang cetek”

Tan Sri Dato’ Wan Mahmood Pawan Teh

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM)

Share This