Menjelang tibanya jam 12 tengahmalam ini, ramai yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2020 dan menyambut ketibaan 2021, dengan penuh harapan yang tahun ini akan membawa lebih kebahagiaan kepada mereka.

2. Walaupun Tahun Baru ini bukan tahun baru mengikut Takwim “Hijri Islam”, namun penghidupan kita berkitar mengikut Gregorian kalendar yang berdasarkan sistem Solar.

3.  Di dalam keghairahan kita menyambut tahun baru 2021, janganlah kita lupakan segala saat-saat kegagalan dan kejayaan, keceriaan dan kedukaan, kemenangan dan kekalahan dan pahit manis yang kita lalui dalam tahun 2020. Junjunglah apa yang kita cita-citakan bagi tahun 2021 dan belajar daripada segala pengalaman yang kita telah perolehi dalam tahun 2020.

4.   Kerana semua ini telah menjadi pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat diperolehi dalam mana-mana buku atau institusi ilmiah.

5.  Sebagai permulaan marilah kita cuba senaraikan perkara-perkara telah berlaku yang dianggap penting di dalam hidup kita. Sudah tentu perkara yang mula terlintas di hati kita ialah perkara yang menggugat kesihatan kita, iaitu penularan virus Covid-19 yang bermula menular di Malaysia pada 17.2.2020 dan memaksa kita mengubah cara hidup harian kita dari segi sosial, political, ekonomi dan kebebasan kita sebagai seorang hamba Allah. Kita terpaksa mengubah cara hidup harian kita mengikut norma baru yang kita tidak dapat lihat bila penghujungnya.

6.  Di dalam masa keadaan yang sangat mencabar inilah manusia diduga atas keimanan, kelemahan dan integriti masing-masing, yang biasanya berinteraksi secara bermesyuarat dan bersemuka terpaksa menjalankan dengan cara Maya, yang biasa berjabat tangan dan peluk memeluk terpaksa menghormati satu sama lain dengan isyarat sahaja, yang biasanya berganding bahu untuk menjadi barisan yang kukuh dan bersepadu terpaksa berpisah dengan mengamalkan Penjarakkan Sosial, dan banyak lagi yang berbeza dengan cara hidup lama kita.

7.  Janganlah kita mengeluh mengenangkan dugaan yang kita terpaksa mengharungi ini, kerana ada juga bibit-bibit kebaikan yang wujud disamping masalah yang kita hadapi.

Bak kata pepatah bahasa Inggeris ” Every Cloud has a Silver Lining“.

Sebagai contoh saya cuba senaraikan beberapa kebaikan yg diperolehi.

     a/   Kerana terpaksa duduk dan bekerja dari rumah, kita ada lebih masa merenung &         menambahkan quality hidup kita.

   b/  Kita dapat meningkatkan “bonding” atau ikatan kekeluargaan diantara kita dengan keluarga terdekat kita.

      c/    Kita ada lebih masa untuk menambah ilmu dan amalan mengikut tuntutan agama kita. 

      d/   Kita berpeluang untuk riadah dan melakukan aktiviti yang menambah tahap kesihatan diri kita.

  e/  Kita boleh menampung ekonomi dengan bercucuk tanam atau menyelami bakat terpendam yang ada di dalam diri kita masing-masing

     f/  Kita berpeluang untuk mengambil bahagian dalam mendidik anak cucu kita, yang selama ini mengharapkan didikan di sekolah sahaja dan terdedah kepada berbagai gejala sosial yang semakin mengembang dalam keadaan komunikasi moden dan keadaan hidup yang mengamalkan nilai-nilai tanpa had di masa ini.

8.    Di dalam ruangan yang terhad bagi menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baru 2021, saya rasa memadailah dengan apa yang saya dapat kongsi dengan rakan taulan yang disanjung tinggi.

9.  Bersamalah kita berdoa kepada Allah SWT, supaya dikurniakan kepada kita semua kebahagiaan, dengan keadaan sihat walafiat dan sentiasa di dalam peliharaanNYA.

10.  Selamat Menyambut Tahun Baru 2021, maafkan segala khilafan dan kelemahan diantara satu sama lain dan marilah kita membaharui keazaman kita untuk terus mencurah bakti untuk AGAMA, BANGSA, RAJA & NEGARA.

WasSalamu ‘alaikaum wa RahmatuLLahi Ta’ala wa Barakatuh

 

Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood bin Pawan Teh.

Presiden,

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM)

31.12.2020.