Gesaan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Mahyiddin bin Haji Muhammad Yassin, Perdana Menteri Malaysia berkenaan aspek makanan halal sangat dialu-alukan.

Dengan Malaysia menjadi Hub Makanan Halal, ianya akan menjanakan perkembangan ekonomi yg pesat. Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia sangat bersetuju dengan cadangan ini dan sebenarnya telah merancangkan kempen “BM1st” (Beli Muslim 1st) kepada 70,000 ahlinya yang berada di seluruh tanah air kita pada bulan October tahun ini dan sudahpun menyediakan logo kempen ini.

Untuk menentukan kempen ini mencapai kejayaan, kita mestilah yakinkan rakyat kita sendiri bahawa semua bahan pemakanan yang diakui halal sebenarnya tidak mengandungi bahan-bahan yang mencemari kehalalannya.

Sebagai contoh PPKM telah secara rambang membuat siasatan berkenaan penggunaan minyak masak di banyak gerai-gerai dan restoran yang dikunjungi oleh umat Islam. Siasatan ini telah menunjukkan bahawa banyak juga gerai-gerai dan restoran makanan Islam menggunakan Minyak Kitar Semula yang tidak ada sijil Halal dari pihak JAKIM.

Secara umumnya Minyak Kitar Semula adalah dari bahan-bahan minyak yang diambil dari perangkap minyak kedai-kedai dan restoran, yang ada di antaranya mengandungi minyak babi.

Oleh yang demikian adalah diharap pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal, atau lain-lain Agensi Kerajaan berkenaan memandang serius perkara ini.

Untuk menentukan setiap bahan makanan yang dikeluarkan tidak mengandungi apa-apa bahan yang boleh mengganggu  kesihatan atau mengandungi bahan-bahan larangan mengikut Undang-Undang Islam, maka adalah disarankan supaya Kerajaan menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011(Akta 2011).

Kalau dilihat barangan eksport termasuk ubat-ubatan dari Negeri Maju kita dapat pengesahan bahan-bahan yang digunakan termasuk tarikh luput ubat-ubatan tersebut dijelaskan.

Malaysia sebagai Negara yang hampir sampai ke tahap negara maju, perlulah berwaspada dan memberi jaminan bahawa barangan keluarannya mencapai tahap yang setanding dengan negara maju.

 

Saya yang menjalankan amanah,

YAD Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood bin Pawan Teh

Presiden

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia