Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menyokong Kerajaan Malaysia mengisytiharkan  Perintah Darurat di seluruh Negara. Memandangkan penularan virus COVID-19 yang sangat membimbangkan, saya sebagai Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia yang mewakili lebih dari 70 ribu ahli yang berada diseluruh pelusok tanah air kita, oleh kerana  majoriti ahli-ahlinya  berusia lebih dari 60 tahun yang mewakili segenap keturunan etnik rakyat Malaysia, Persatuan ini bolehlah dianggap sebagai mewakili warga emas di dalam negara ini.
Statistik mangsa Covid-19 seluruh dunia membuktikan ramai terdiri dari orang yang berusia 60 tahun ke atas. Oleh yang demikian golongan umur inilah yang banyak menjadi mangsa penyakit ini. Statistik kematian di Itali menunjukkan bilangan besar adalah terdiri dari mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling sepatutnya menjadi isyarat yang kuat kapada Kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik membendung gejala ini. Itupun belum mengambil kira apa yang akan meletus selepas perhimpunan ribuan manusia yg hadir di
upacara Masai Magam Thepa Thirunaal di Pulau Pinang pada 8.3.20.



Tempias dari cetusan penularan virus di Perhimpunan Sri Petaling ini dirasai bukan sahaja dalam Negara ini tetapi juga sampai ke Negara-negara jiran seperti Singapura dan Brunei. Nampaknya Negara-negara berkenaan dapat menangani masalah ini dengan baik. Di Malaysia pula perkara ini berkembang menjadi masalah yang besar. Hingga hari ini mereka yang hadir di perjumpaan di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 – 29 Februari masih bebas berkeliaran bergaul dengan orang awam, sekaligus dengan tidak sengaja menjangkiti mereka.

Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan dua minggu kemudian. Itu pun tidak dijalankan dengan cara yang kemas menyebabkan rakyat menganggap ini sebagai peluang untuk pulang ke kampung. Dengan secara tidak sengaja mereka telah mendedahkan orang tua-tua di kampong dengan jangkitan virus tersebut.


Di dalam keadaan yang kita berada pada masa ini, kita tidak ada lain pilihan selain dari mengisytiharkan darurat. Di dalam keadaan kecemasan saperti ini adalah tidak wajar kita  menunding jari kepada sesiapa atau mana-mana pihak sekalipun. Kita tidak boleh bermain politik tuduh menuduh, sama ada kita berpihak kepada Kerajaan atau pembangkang. 


Inilah masanya kita perlu berganding bahu bersama-sama menyelamatkan Negara kita dan rakyat kita dari menjadi mangsa kepada COVID-19 Marilah kita bersama sama ada dari golongan pemimpin politik, penjawat atau petugas awam, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) atau rakyat biasa memain peranan masing-masing dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar ini.

Kita tidak payah meraba-raba mencari formula atau cara yang terbaik kerana kita sudah ada contoh yang telah berjaya dari Negeri  China  menggunakan disiplin  tegas yang terpaksa dipatuhi oleh segenap lapisan masyarakat seperti “social distancing” dan budaya
kebersihan am.

Marilah kita bersama berdoa kepada Allah SWT supaya menyelamatkan kita dari musibah ini. Insya-Allah dengan kita bersatu hati bertawakkal kepada Allah kita dapat mengharungi dugaan pahit yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Amin ya rabbal alamin. Wassalam

Yang Memegang Amanah

Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood bin Pawanteh
Presiden
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM)  

Social-Distancing-Infographic2-01

Image 6 of 6